Banjir Manjoi: Terburuk, jejas persiapan Ramadan mangsa

Berita Perak

IPOH: Banjir yang berlaku di kawasan Manjoi, Ipoh pada Isnin disifatkan yang terburuk sejak berpuluh tahun lebih lalu sehingga menjejaskan lebih 60 buah rumah.

Hujan lebih lebih dua jam telah menyebabkan air naik dengan mendadak sehingga ada yang mencecah paras pinggang.

Beberapa penduduk yang ditemui ketika majlis penyampaian bantuan wang ihsan di Ipoh pada Rabu berkata, air yang naik mendadak menyebabkan banyak peralatan elektrik dan perabot tidak dapat diselamatkan.

Syed Zamri Syed Hassan dari Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 1 berkata, sebelum ini
tidak pernah terjadi banjir yang seteruk kali ini.

“Persiapan untuk bulan Ramadan ni pum turut terjejaslah sebab banyak barang perabot, letrik semua habis musnah.

“Ini yang paling teruk sekali, tak pernah, sebelum ni tak pernah terjadi. Dulu hujan lebat tapi tak pernah terjadi, memang terkejut rasanya,” katanya.

Seorang mangsa Safinah Mohamad dari Kampung Kg Kuala Tanggong , Silibin pula menceritakan detik cemas apabila terpaksa memasukkan ibunya yang diserang strok ke dalam periuk sementara menunggu bantuan tiba kerana air naik mendadak sehingga ke paras pinggang.

Menurutnya, dia bersama empat ahli keluarga termasuk abang dan kakak iparnya terpaksa masukkan emak mereka ke dalam periuk.

“Nak tunggu bantuan tiba agak lambat, terpaksa masukkan emak dalam periuk dulu,” ujarnya.

Menurutnya, emaknya baru dua minggu dibenarkan keluar daripada hospital kerana menjalani rawatan lanjut

Sementara itu, Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, bantuan wang ihsan RM800 itu adalah sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Tambun dan kerajaan negeri Perak.

Menurutnya, setakat Rabu, seramai 60 orang telah menerima bantuan itu dan pihaknya masih membuka pendaftaran mangsa sehingga Jumaat ini.

Mengakui banjir kali ini adalah yang terburuk, beliau berharap ia dapat diatasi dengan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa 2 yang telah dianugerahkan kepada kontraktor pada 14 Januari lalu.

“Kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir kedua, fasa kedua, nilainya RM108 juta.

“Semua kawasan yang terlibat dengan banjir pada hari Isnin lalu sebenarnya itulah kawasan-kawasan yang terlibat dalam yang projek tebatan banjir tu,” katanya.