Banjir Manjoi: PPS dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein

Berita Perak

IPOH: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein bagi menempatkan 26 mangsa banjir di Gugusan Manjoi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori memaklumkan, PPS itu dibuka mulai jam 5 petang bagi menempatkan 10 keluarga terlibat.

Menurutnya, pembukaan PPS itu ekoran mereka tidak dapat memasuki kediaman masing-masing kerana kerja pembersihan tidak dapat dilaksanakan hari ini.

“Kerjasama serta komitmen semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengoperasian PPS ini amatlah diharapkan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu media melaporkan, 26 mangsa tersebut ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron, Manjoi selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein, malam tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta berkata sembilan keluarga melibatkan 22 orang terjejas di Kampung Manjoi, manakala satu keluarga dengan empat mangsa terjejas di Kampung Tengku Hussein.

Bagaimanapun, katanya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berikutan jumlah mangsa yang kecil dan keadaan banjir yang masih terkawal.