IPOH: Hujan lebat yang berlanjutan lebih dua jam menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Manjoi dan Meru Raya malam ini.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan (APM) Awam Daerah Kinta memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Penghulu Kampung Manjoi telah berlaku banjir kilat dan memerlukan pemantauan.
“Beberapa buah rumah rumah telah di masuki air dan orang awam berjaya membawa keluar lima orang mangsa, termasuk dua orang kurang upaya (OKU) warga emas wanita dan seorang kanak-kanak dari kawasan banjir dan menunggu untuk membuat pindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi semua mangsa kemudiannya dipindahkan sementara ke Masjid Al-Ghufran, Manjoi.



Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di sekitar Kampung Datuk Ahmad Syed, Meru Raya, pada jam 6.58 petang.
Menurutnya, setibanya jentera di tempat kejadian, didapati paras air banjir dianggarkan sedalam satu meter, namun air mulai surut.
“Ketua operasi dimaklumkan oleh pemanggil bahawa mereka tidak perlu berpindah dan hanya menunggu air surut sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi membuat size up di lokasi kejadian dan mendapati paras air mulai surut dan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian.




Menurutnya, tiada sebarang Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan anggota bomba membuat pemantauan sehingga banjir surut sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Suhaimi Ab Samad bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya tamat sepenuhnya jam 8.13 malam.





