Bangunan SMK Raja Muda Musa terbakar

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa di sini musnah terbakar dalam kejadian sekitar jam 11.28 pagi hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan mangsa atau kemalangan jiwa.

Katanya, seramai 12 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Sungai Siput digerak atur ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian, kebakaran melibatkan bangunan sekolah dua tingkat jenis kelas A yang terbakar di tingkat 1.

“Ia merupakan bilik stor peralatan elektrik dan merebak ke bilik pendidikan seni dengan anggaran musnah terbakar sebanyak 40 peratus dari jumlah keseluruhan bangunan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran mulai terkawal pada jam 11.52 pagi dan sehingga kini kerja ‘overhaul’ sedang dilaksana.