Bandar Ekonomi Donat 2027, MBI sedia kongsi dengan PBT lain

Berita Perak

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersedia berkongsi dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut berhasrat melaksanakan program Bandar Ekonomi Donat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini memandangkan Ipoh telah menjadi perintis kepada Konsep Bandar Ekonomi Donut di Asia.

Menurutnya. Ipoh, salah satu bandar utama di Malaysia telah mengambil inisiatif menjadikan Ipoh sebagai bandar ekonomi donut pada tahun 2027.

“Program ini adalah flagship-15 di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 dan konsep bandar ekonomi donat bukannya satu konsep yang baru.

“Konsep ini telah dilaksanakan di beberapa bandar di dunia seperti Amsterdam, Berlin, Melbourne, Brussels, Sydney, Oxford dan Birmingham,” katanya ketika berucap merasmikan program podcast ‘Resilient Cities: Responding To Climate Change Challenges In Urban Environments’, di sini, hari ini.

Beliau berkata, melihat kejayaan bandar-bandar itu melaksanakan konsep berkenaan, adalah menjadi hasrat Ipoh untuk melaksanakan ekonomi donut dan menjadi bandar ekonomi donut Asia yang pertama.

Menurutnya, sebanyak 80 program telah dirancang dan dilaksanakan bagi menjayakan flagship itu.

Rumaizi menjelaskan, teori ekonomi donat bukanlah tentang mencipta idea baharu, tetapi lebih kepada ekonomi kitaran yang menggalakkan pembangunan sedia ada dengan mengambil kira aspek kemanusiaan.

“Manakala fungsi Kesihatan Persekitaran dalam Resilent Cities adalah lebih kepada kawalan pemantauan dan penguatkuat kuasaan secara berterusan supaya tidak berlaku sebarang pencemaran kepada alam sekitar.

“Oleh itu, melalui program ini, kita berharap dapatbersama-sama menyatukan tenaga dan pemikiran, dari pelbagai pakar bidang untuk mencari solusi yang inovatif dan berkesan dalam membina bandar-bandar yang lebih mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.

Beliau berharap perbincangan dan perkongsian ilmu dari program itu akan membawakepada langkah-langkah konkrit dan tindakan kolektif yang mempunyai kesan positif, sekaligus memberi impak besar dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dalam bandar-bandar di negara ini.

Rumaizi berkata, cabaran perubahan iklim telah menjadi isu global yang memerlukan perhatian serius dari semua pihak.