Baki SARA hanya RM2.70, MyKad lama didakwa disalah guna

Berita Perak

IPOH: Selepas menerima tiga aduan mengenai dakwaan MyKad digunakan individu lain bagi menebus RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah tidak menyangka beliau sendiri turut menjadi mangsa.

Mohd Rawi berkata, perkara itu disedarinya pada 30 September lalu selepas semakan mendapati baki bantuan SARA menerusi MyKad miliknya hanya tinggal RM2.70, sedangkan beliau belum pernah membuat sebarang penebusan.

Menurutnya, kejadian itu berkemungkinan berlaku akibat penyalahgunaan MyKad lamanya yang hilang Julai lalu oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Saya meminta isteri membuat penebusan bantuan RM100 SARA menggunakan MyKad saya yang baharu di sebuah kedai serbaneka di Ipoh Garden dua minggu lalu, namun bakinya hanya tinggal RM2.70.

“Saya menyangka MyKad lama akan terbatal secara automatik sebaik kad baharu dikeluarkan.

“Kejadian ini seolah-olah membuktikan sebaliknya apabila kad lama saya yang sudah hilang masih boleh digunakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, dekat sini, pada 7 Oktober lalu.

Mohd Rawi berkata, kejadian itu mungkin melibatkan kerugian kecil, tetapi menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bayangkan kalau individu itu guna MyKad lama saya untuk buat transaksi kewangan atau terlibat dengan jenayah, sudah pasti saya yang akan menanggung akibatnya,” ujarnya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya kehilangan MyKad.

Pada masa sama beliau juga menggesa agar pihak berwajib untuk tidak melihat perkara itu sebagai kes terpencil, sebaliknya mengambil serius agar ia tidak berulang kepada individu lain.

“Isu ini bukan hanya melibatkan kerugian peribadi, tetapi juga keselamatan data peribadi seluruh rakyat.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil perkara ini dengan serius dan memperkukuh sistem bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.