MUALLIM: Dinamika industri kafe kopi barista mengalir pantas dalam budaya hidup rakyat Malaysia. Bermula daripada peminum kopi ke pencinta kopi dan kini ke tahap pemburu kopi.
Bagai cendawan tumbuh, begitu banyak kafe pakar kopi atau disebut barista muncul dari tengah bandar menular ke pekan-pekan kecil.


Dengan konsep dan dekorasi yang pelbagai, kebanyakannya dijalankan oleh usahawan muda yang didorongi pelbagai idea dan kemahiran yang tersendiri.
Pekan Tanjong Malim sedia terkenal dengan banjaran Titiwangsa yang membiru serta melahirkan ramai cerdik pandai ini mempunyai pasaran pelanggannya yang tersendiri iaitu daripada golongan pelajar universiti dan pelancong luar bandar terutamanya dari Lembah Klang dan sekitar.


Merebut peluang itu, graduan dalam bidang pastri dan bakeri di Food Institute of Malaysia, Khairunisa Elyssa memilih untuk mengusahakan, Sorae Café di Bandar Behrang 2020, di sini.
Sejak tahun 2018 lagi, dia mula menjalankan perniagaan dari rumah memenuhi permintaan pelanggan terdekat. Maklum balas yang cukup positif mendorong kemunculan Sorae Café tahun lalu.
Keistimewaan Soraé Cafe adalah dengan menawarkan pengalaman rasa unik melalui pemilihan biji kopi yang berkualiti.
Penggunaan biji kopi jenis Forever Roaster Coffee yang dibakar secara tersendiri dapat menyajikan kopi yang segar, konsisten dan berkarakter.
Selepas pemergian ayahnya yang juga merupakan seorang cef, Elyssa tidak menunggu lama masuk ke dapur bergabung idea, tenaga dan kemahiran dengan kakaknya, Khairunisa Yasmin yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan Perisian.
Menyedari kepentingan ilmu pengetahuan dalam pendidikan tinggi untuk membina kerjaya, mereka mengakui bahawa kemahiran penting seperti penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan rekabentuk strategi perniagaan diperoleh ketika menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi.
Malah dengan menambah nilai diri, pengalaman Yasmin sebagai pereka grafik turut membantu mereka membina sendiri identiti jenama syarikat dari segi penyediaan logo, warna koperat, bahan promosi.
Kepesatan teknologi kecerdasan buatan turut dimanfaatkan sepenuhnya dalam menjalankan perniagaan.
Di sini juga ada menjual pencuci mulut, antaranya Kunafa Pistachio Cheesecake dan Burnt Pistachio Cheesecake.
Soraé Cafe bermaksud langit tinggi dalam Bahasa Jepun manakala dalam bahasa Indonesia, sore bermaksud petang atau senja.
Gabungan dua perkataan yang menonjol dengan segmen pelanggan yang jelas menafsirkan sebagai langit petang atau langit senja yang memberi ketenangan dan keselesaan kepada pelanggan.
Kopi sebenarnya tidaklah berasa begitu pahit tetapi rasa pahit muncul seandainya menggunakan biji kopi yang tidak berkualiti atau disentuh dengan kaedah salah.
Kopi merupakan sejenis rasa ciptaan Tuhan yang unik kerana ia dipengaruhi oleh tanah, cuaca dan tempat yang ditanam sehingga memberikan ia semacam ‘taste note’ yang pelbagai dari nutty, choc, fruity dan pelbagai lagi.
Rasa kopi istimewa yang segar dan manisan buatan tangan seperti kek dan pastri yang tersendiri menghadirkan suasana kekeluargaan.

Selera pelanggan yang sentiasa berubah turut menjadikan Soraé Café sentiasa cakna akan gaya rasa terbaharu yang beraspirasi dengan jenama tempatan terkenal yang lain. Setiap kunjungan terisi pengalaman dan cerita bermakna untuk meninggalkan memori yang manis.





