Oleh: Bazli Razak
IPOH: Kecemerlangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam melahirkan para pendidik di negara ini diteruskan dengan kejayaan pelajarnya muncul juara dalam Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.
Pertandingan yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu menyaksikan ramai pasukan berentap bagi mengangkat martabat bahasa Melayu dengan tema ‘Bahasa Melayu Pemangkin Generasi Madani’.
UPSI diwakili oleh Nuramiraasha Rashdan, Muhammad Faiz Md Fauzi, Muhammad Azri Asyraf Abu Seman, Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim dan Nurul Syahera Zainudin.
Mereka terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu dan ISMP Bahasa Arab.
Sekali gus membuktikan keupayaan pelajar UPSI menggabungkan kekuatan ilmu bahasa dan kemahiran komunikasi dalam medan berhujah.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kemenangan tersebut bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) mencerminkan kecemerlangan pelajarnya, bukan sahaja dalam bidang akademik.
Tetapi juga dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wacana ilmiah.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sekadar bijak berhujah, tetapi mampu berbicara dengan hikmah, berfikir secara kritis dan menyampaikan pandangan dengan adab serta budi bahasa,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, berkata kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi para pelajar dan bimbingan pensyarah yang sentiasa menekankan keseimbangan antara penguasaan teori bahasa dan kemahiran komunikasi praktikal.
“Kami di Fakulti Bahasa dan Komunikasi sentiasa menyokong pelajar untuk mengaplikasi ilmu yang dipelajari ke dalam konteks sebenar seperti pertandingan forum ini.
“Ia bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa, tetapi juga membina keyakinan, kepimpinan dan ketajaman berfikir,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan pasukan itu membawa pulang cek cura bernilai RM4,000, piala kemenangan serta sijil penyertaan, yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, pelajar UPSI, Nuramiraasha Rashdan turut dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik, melengkapkan kejayaan berganda universiti itu dalam pertandingan berprestij tersebut.
Naib johan pertandingan disandang oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, manakala IPG Kampus Rajang, Sarawak menduduki tempat ketiga.







