IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dukacita insiden wanita naik pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini hari ini.
Ketuanya, Ashraf Kahasani berkata,
mereka dukacita dan bimbang terhadap insiden itu yang melibatkan keselamatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“AMK Perak amat berharap pihak berkuasa dapat memberikan perhatian segera dengan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, polis menahan seorang wanita yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak pada pagi Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi semasa lagu kebesaran Negeri Perak sedang berkumandang.
Menurutnya, suspek telah masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
“Suspek merupakan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun telah ditahan di lokasi dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, had semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
Menurut Noor Hisam, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.