Amanat arwah suami beri motivasi Tokoh Keluarga Mithali Maulidur Rasul berjaya didik lapan anak

Berita Perak

IPOH: Amanat Allahyarham suami menjadi pendorong penerima Tokoh Keluarga Mithali Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak untuk memastikan lapan anaknya berjaya dalam kehidupan.

Rohani Tandaik, 65, kehilangan suami kira-kira 26 tahun lalu ketika anak-anak masih kecil, berumur antara 3 hingga 18 tahun.

Walaupun perlu berkejar-kejar dengan masa sebagai pembantu tadbir dan menguruskan anak-anak, ibu tunggal itu sentiasa mengingati pesanan arwah suami, Ramli Norddin yang meninggal dunia pada usia 46 tahun akibat kanser paru-paru.

“Walaupun saya ada pendapatan tetap sebagai penjawat awam, tapi memandangkan anak yang ramai dan keperluan yang agak besar juga lah kan kewangannya.

“Jadi, saya menambah pendapatan dengan membuat kerja-kerja sampinganlah, macam mengambil tempahan kueh, terutama kueh-kueh raya, lepas tu mengambil tempahan membuat hantaran dan juga menjadi langsir umpamanya.

“Saya selalu ingatkan anak-anak yang arwah ayah dia orang ingin melihatkan anak-anak semuanya berjaya dan adalah menjadi tanggungjawab dan amanah untuk saya laksanakan untuk membesarkan anak dengan baik lah,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini, yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Rohani berkata, dia memilih untuk bersara awal pada 2008, ketika ada di antara anak-anaknya yang telah bekerja.

Berkat kegigihannya, kini kesemua anaknya berjaya ke menara gading dan mempunyai kerjaya masing-masing, antaranya menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), doktor dan penguam.

Nenek kepada 17 orang cucu itu berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya mengharungi cabaran untuk mendidik lapan orang anaknya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin yang terpilih sebagai Tokoh Pengamal Media berkata, bidang kewartawanan sekarang semakin mencabar.

“Kita sebagai seorang wartawan sebenarnya juga kita kalau kita lihat akan tugas kita adalah sama seperti mana seorang pendakwah, ataupun ada yang mengatakan bahawa seorang wartawan ni sama sebagai orang ulamak, iaitu untuk kita menyampaikan ilmu.

“Jadi di sinilah orang kata cabaran kita adalah bagaimana kah untuk kita menjadi seorang pengamal media ataupun wartawan yang paling berkesan,” ujarnya.