IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan pemantauan ketat terhadap setiap aktiviti letupan kuari di Perak bagi memastikannya ia mematuhi prosedur serta jadual yang ditetapkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemantauan itu termasuklah semakan bahan letupan berjadual yang digunakan serta rekod penggunaan dan penyimpanan stok bahan letupan.
Menurutnya, setakat ini, kesemua syarikat kuari berlesen yang diperiksa mematuhi syarat lesen dan prosedur operasi standard ditetapkan.
“Aktiviti letupan juga dijalankan mengikut peraturan, jadual dan kelulusan yang sah.
“Tiada sebarang unsur keraguan dikesan sehingga kini,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh pada 18 Jun lalu berpunca daripada operasi kuari.
Menurutnya, semakan dan siasatan awal pihak polis mendapati semua aktiviti letupan oleh syarikat kuari berlesen hanya dilaksanakan pada sebelah petang iaitu selepas jam 12 tengah hari.
“Letupan oleh pihak kuari yang direkodkan pada hari tersebut berlaku sekitar jam 12 tengah hari, jam 1 petang dan paling lewat jam 4.08 petang.
“Sedangkan kejadian gegaran yang dilaporkan orang awam berlaku seawal jam 10.30 pagi.
“Jadi agak mustahil (gegaran berpunca daripada letupan kuari) kerana waktunya berbeza sebelah pagi dan petang,” ujarnya.
Noor Hisam berkata, siasatan lanjut berkaitan kes gegaran itu masih dijalankan melibatkan kolaborasi bersama pakar geologi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mencari punca sebenar.
“Kita sedang kumpulkan beberapa bukti dan dapatan daripada kedua-dua pihak yang masih menjalankan siasatan.
“Setakat ini, tiada lagi gegaran susulan dilaporkan dan saya minta masyarakat bertenang serta beri ruang kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan secara menyeluruh,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan bunyi letupan dan gegaran kuat dirasai di sekitar Klebang, Chemor, Meru Raya, Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dan Taman Ipoh.
Untuk rekod, pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat turut dilaporkan berlaku di kawasan sekitar Ipoh sekitar jam 11 pagi disusuli bunyi dentuman yang kuat.
Difahamkan, kejadian ini merupakan insiden keempat selepas kali pertama direkodkan pada Jun 2012 dan 4 Oktober 2018, dengan kesemuanya berlaku pada waktu hampir sama dan punca sebenar masih belum dikenal pasti hingga kini.



