IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui pelbagai agensi membekalkan sehingga 12 juta ekor ayam dan 400 tan daging setiap bulan, cukup untuk menampung peningkatan permintaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, Perak turut mengeluarkan sehingga 160 juta biji telur sebulan, bagi memastikan bekalan kepada pengguna stabil.


Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi berkaitan sentiasa melaksanakan pemantauan rapi bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan dengan harga di bawah kawalan.
“Berdasarkan kepada lawatan dan temu ramah yang dibuat, kita lihat harga masih di bawah harga kawalan, malah ada yang lebih murah lagi.
“Ini menunjukkan bahawa keadaan harganya stabil dan tidak membebankan rakyat, khusus di negeri Perak ni,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Ipoh dan Pasaraya Mydin Meru, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik dan memberi jaminan bekalan ayam, daging dan telur akan terus diagihkan secara konsisten sepanjang tempoh menjelang Aidilfitri.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan semua pemain industri ternakan, pengusaha ladang dan agensi berkaitan.










