IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan rakannya yang juga bekas pemain bola sepak Perak, Mohd Zakaria Mohamad.
Menurut Mohd Zakaria, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Allahyarham dikatakan rebah ketika berbual dan bergambar dengan beberapa rakan bekas pemain dari negeri lain sekitar jam 6 lebih sikit,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, pasukan perubatan kemudiannya memberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.
“Allahyarham dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang,” ujarnya.
Allahyarham menjadi ADUN Air Kuning pada penggal pertama selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu.
Status: Berkahwin
Pendidikan tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Jawatan:
ADUN Ayer Kuning
Ketua UMNO Bahagian Tapah
Pengerusi BN Tapah
Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Perak
Presiden Bola Sepak Daerah Batang Padang
Penaung Akademi Bola Sepak Ishsam
Ahli Lembaga PKNP