PARIT: Kehilangan dua kakak dan dua abang serentak dalam nahas tragis di Jerantut, Pahang bulan lalu memberi kesan emosi yang cukup mendalam kepada adik bongsu mereka, Nur Farisya Ayuni, 12.
Ibu lima beradik itu, Zaini Noh, 52, berkata, perubahan ketara dapat dilihat apabila anak bongsunya itu berubah menjadi pendiam dan lebih banyak menyendiri berbanding sikap sebelum ini.
Menurutnya, rumah mereka kini sunyi, tidak lagi riuh rendah seperti dahulu.
“Nur Farisya pun banyak diam, kadang-kadang boleh dengar dia mengigau panggil Wani (Nurul Hazwani).
“Pernah juga sebaik pulang dari sekolah, dia berkurung di dalam bilik, bila dijenguk, saya nampak dia sedang memegang gambar Wani sambil menangis,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam, 6 Jun lalu, empat beradik maut selepas kereta dinaiki dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Kilometer 7, Jalan Jerantut Feri-Maran
Selain Nurul Hazwani, 17, tiga beradik lain ialah kakaknya, Nur Arfiqah, 23, serta dua abang, Mohammad Zulkifli, 21, dan Mohamad Azizul Hakimi, 19,
Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26.
Menurut Zaini, Nur Farisya memang rapat dengan Nurul Hazwani kerana mereka bukan sahaja menjalani rutin harian yang sama malah berkongsi bilik.
Katanya, bagi mengubat kerinduan, dia dan suami sering membawa anak bongsu mereka itu ke kubur.
“Dia selalu mengadu sunyi, jadi saya dan suami setiap hari akan membawanya ke kubur. Dia akan duduk bersila di depan kubur dan peluk kubur kakaknya.
“Saya tidak tahu apa perasaan Nur Farisya tapi saya tahu dia rindu. Dia juga tidak benarkan saya beri pakaian kakaknya kepada orang kerana dia mahu simpan, mana yang boleh pakai, dia akan pakai,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan suami sebolehnya tidak akan membiarkan Nur Farisya bersendirian dan akan cuba membawanya keluar berjalan bagi melupakan kesedihan.
“Selain Nur Farisya, abang sulung mereka turut terkesan. Dia pun banyak termenung, mungkin terkenangkan adik-adiknya yang telah pergi,” tambahnya.
Terdahulu, Zaini dan suami, Aziz Jaafar Yusof, 50, menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 atas nama pencarum Allahyarham Nur Arfiqah.
Pada lawatan itu, Timbalan Pengarah Perkeso Perak, Khairul Mizan Md Said turut memaklumkan bahawa kedua ibu bapa Nur Arfiqah dan Nur Farisya layak menerima manfaat pencen penakat yang akan diberikan dalam masa terdekat.
Menurutnya, semakan mendapati Nur Arfiqah merupakan pencarum aktif ketika bekerja di Carsem (M) Sdn. Bhd. dan layak menerima FPM dan pencen penakat.
“Ibu bapa akan menerima pencen bulanan itu sepanjang hayat manakala adiknya sehingga berusia 21 tahun,” katanya.