AADK Perak kenal pasti empat port dadah berisiko tinggi

Berita Perak

SERI ISKANDAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak kenal pasti empat kawasan berisiko tinggi (KBT) penagih dadah yang disasarkan untuk ditukar kepada kawasan berisiko rendah secara berperingkat.

Pengarahnya, Mohamad Nor Musa berkata, empat kawasan itu ialah Parit Buntar di daerah Kerian; Taiping (Larut, Matang dan Selama), Pasir Salak (Perak Tengah) dan Sungai Raia (Kinta).

Menurutnya, setiap tahun AADK Perak mempunyai penilaian prestasi (KPI) dan tahun ini pihaknya telah menetapkan empat kawasan terkenaan.

“Alhamdulillah, pada tahun lalu, kita telah menyerahkan tujuh KBT yang pada peringkat awalnya warna merah dan berjaya dipulihkan.

“Apabila sudah mencapai warna putih, kita serahkan balik kepada pegawai daerah di kawasan berkenaan untuk beliau teruskan supaya ia kekal putih.

“Pada masa sama, AADK akan memantau dan membantu pihak pegawai daerah dan penghulu yang turut terlibat membantu kawasan tersebut memastikan kawasan berkenaan kekal warna putih dan tidak lagi dikategorikan sebagai KBT,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah (HAD) Peringkat Perak 2024 dan Kempen Sifar Penyalahgunaan Dadah di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTP, Profesor Ir Ts Dr Nor Hisham Hamid dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Perak, Velan Supramaniam.

Mohamad Nor berkata, pada peringkat permulaan, AADK Perak akan mengkaji terlebih dahulu setiap KBT berdasarkan kefahaman, sokongan dan penglibatan masyarakat termasuk menilai kawasan belia berisiko tinggi untuk terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Apabila kajian dibuat, kita akan bermuafakat bersama pegawai daerah, penghulu, polis, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) untuk menggerakkan lebih banyak program bersama seterusnya memutuskan rantaian permintaan dan penawaran dadah di kawasan terbabit.

“Berdasarkan statistik, kita dapati golongan berusia 21 hingga 40 adalah lebih ramai berbanding remaja berusia belasan tahun,” ujarnya.

Dalam berkembangan berlainan, Mohamad Nor memaklumkan lebih 20,000 belia Perak sudah berdaftar sebagai Skuad Antidadah iaitu identiti sukarelawan yang menjadi agen penyalur maklumat dan mempromosi perkhidmatan AADK di dalam kawasan atau komuniti masing-masing.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan penyertaan 65,000 belia di Perak untuk memantapkan aktiviti kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat.