IPOH: Sempena pendaftaran pelajar baharu bagi kemasukan semester satu 2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) meneruskan tradisi membela nasib pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian di UPSI dalam bidang masing-masing.
Menurut Pengarah WEZAS, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, ia sebahagian daripada UPSI menyahut seruan kerajaan menerusi pendekatan Malaysia Madani yang beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan dalam kalangan masyarakat menerusi Pendidikan.
Katanya, UPSI akan terus memastikan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan diberi peluang melanjutkan pengajian.
“Seramai 84 pelajar dikenalpasti melalui skim bantuan khas semester satu yang ditawarkan oleh WEZAS dan menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.
“Pelajar yang terpilih adalah berdasarkan kepada latar belakang pendapatan keluarga bawah RM1,000 sebulan dan tersenarai dalam sistem e-Kasih yang disaring dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, daripada bilangan itu, 22 orang ditawarkan bantuan pendaftaran penuh berjumlah lebih RM51,000, manakala 27 lagi menerima bantuan yuran minimum berjumlah RM40,500 serta 35 pelajar mendapat bantuan awal tunai RM500 seorang dengan jumlah RM17,500.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM109,598.35,” ujarnya.
Menurutnya, terdahulu pihak WEZAS dengan bantuan JHEPA membuat lawatan dengan menziarahi calon-calon yang telah disenarai pendek untuk meneliti keperluan keluarga sebelum pelajar mula mendaftar sebagai sebagai warga UPSI.
“Kami juga membantu pelajar-pelajar yang ditularkan di media sosial, yang membuat pendedahan tentang kemiskinan dan keperluan pelajar yang menerima surat tawaran menyambung pengajian di UPSI,” tambahnya.
Untuk rekod, Skim Bantuan Semester Satu ini mula diperkenalkan oleh WEZAS UPSI dan ditawarkan pada tahun 2023 bagi membantu pelajar-pelajar yang ditawarkan tempat pengajian di UPSI namun tidak mampu membayar yuran pendaftaran pengajian.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, inisiatif itu membuktikan UPSI sentiasa peka dengan keperluan masyarakat terhadap pembangunan insan melalui pendidikan.
“UPSI sentiasa memberi perhatian dan prihatin terhadap kes-kes yang dilaporkan di media sosial dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan makluman agar pelajar terbabit dapat dibantu segera,” katanya.