7,000 bungkus beriani percuma habis tidak sampai sejam

Berita Perak

IPOH: Persatuan India Muslim Perak (PRIM) berkongsi rezeki apabila mengagihkan 7,000 bungkus nasi beriani sebagai juadah berbuka puasa kepada warga Ipoh.

Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pemberian nasi beriani itu merupakan tradisi PRIM sejak lapan tahun lalu dan kali kelima diadakan dengan kerjasama Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri.

Katanya, proses menyediakan hidangan itu yang dilakukan katerer dari Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah malam Rabu dan siap kira-kira jam 12 tengah hari Khamis.

“Tahun lepas kita beri restoran masak, tapi ini tahun pertama kita panggil katerer masak kat sini.

“Tapi kalau masak kat sini ada satu hikmah, kita buat gotong royong bersama dengan sukarelawan dari Masjid Negeri.

“Jadi seronoklah, ini merapatkan satu silaturahim sebab ada 30 orang sukarelawan Masjid Negeri dan kami pihak PRIM ada dalam lebih kurang 25 orang,” katanya.

Menurutnya, bagi menyediakan 7,000 bungkus makanan itu, mereka menggunakan 800 kilogram beras dan 800 ekor ayam.

Selain itu, katanya, PRIM turut menghulurkan bantuan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf dan B40.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Sultan Idris Shah II, Datuk Mohd Zaki Mahyudin berharap lebih banyak NGO tampil menghulurkan sumbangan di bulan yang penuh barakah ini,

“Ini merupakan tahun kelima diadakan program seumpama ini dan telah mendapat sambutan yang hangatlah daripada semua masyarakat di bandar Ipoh ini dan juga orang ramai yang datang singgah musafir dan sebagainya.

“Diharapkan program ini akan mendapat sambutan sama oleh semua pihak selain daripada Persatuan India Muslim Perak ni melalui NGO-NGO dengan badan-badan persatuan bersama-sama mengimarahkan sama di bulan Ramadan ini.

“Kita menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa di mana pahalanya sangat besar dan ganjaran sangat tinggi,” ujarnya.

Tinjauan Suara Kini mendapati 7,000 bungkus itu habis tidak sampai sejam.

Bagi tidak menghampakan orang ramai yang masih beratur, pihak penganjur memberikan nasi beriani dan dalca sahaja.