IPOH: Sebanyak 6,324 kilogram makanan berjaya diselamatkan daripada terbuang di bawah program Mysavefood (MSF) Perak yang dijalankan di 15 bazar Ramadan tahun lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, makanan tersebut dianggarkan bernilai RM80,325.
Menurutnya, program itu telah memberi manfaat kepada 500 orang yang terdiri daripada golongan memerlukan seperti rumah anak yatim, rumah kebajikan lain dan penuntut institut pengajian tinggi.
“Oleh kerana kita tengok program ini semakin baik semasa ke semasa, tahun ini kita akan teruskan lagi dengan kerjasama persatuan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Cempaka, di sini, hari ini.
Katanya, program itu yang ditransformasikan kepada Ihsan Food Bank (i-FB) tahun ini dengan memberi tumpuan kepada konsep 3S iaitu santuni komuniti, sayangi alam dan selamatkan makanan.
“Program ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dengan kerjasama KPDN Perak dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Perak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, tahun ini BRR dilaksanakan di 11 lokasi seluruh Perak, iaitu masing-masing dua di Ipoh, Teluk Intan dan Tapah di samping satu di Kuala Kangsar, Gerik, Taiping, Manjung dan Parit Buntar.
Jelasnya, seramai 465 peniaga yang terlibat, menyediakan Juadah Rahmah pada harga RM5 ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa.
Menurutnya, bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan perdagangan, KPDN turut melaksanakan pemantauan berkala termasuk melalui Ops Pantau 2026 yang memfokuskan pematuhan tanda harga dan amalan perniagaan beretika.
Katanya, sejak 19 Februari lalu, pihaknya telah memeriksa 860 premis dengan 27 kes kompaun dengan nilai RM6,000.
Menurutnya, daripada kes-kes tersebut, 23 kes melibatkan tiada tanda harga dan empat kes melibatkan Akta Timbang Sukat.







