62 buah sekolah SJKT akan berentap di pertandingan bola sepak Ogos depan

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 62 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini akan menyertai pertandingan bola sepak antara murid-murid sekolah Tamil bawah 12 tahun pada 3 Ogos depan di Ipoh Padang.

Pengerusi Persatuan Bola Sepak India Negeri Perak, Datuk Amaluddin Ismail berkata, inisiatif berterusan selama 14 tahun itu penting dalam mencungkil dan mengasah bakat anak muda ke peringkat lebih membanggakan.

Selain itu katanya, ia juga bagi menggalakkan dan memperkembang penglibatan pelajar India, khususnya dalam sukan bola sepak.

“Pertandingan ini mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri, ia bakal melibatkan penyertaan daripada 38 sekolah Tamil dalam kategori lelaki dan 24 pasukan dalam kategori perempuan dari seluruh SJKT di Perak.

“Pertandingan ini akan berlangsung dari pagi hingga petang, kita turut menawarkan hadiah menarik iaitu RM800 bagi tempat pertama, RM500 tempat kedua dan RM300 tempat ketiga.

“Turut diberikan hadiah kepada pemenang saguhati, jadi kita minta orang ramai supaya memeriahkan pertandingan ini nanti.

“Daripada 62 pasukan itu nanti kita akan pilih dua johan dan mereka akan dihantar untuk bermain ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, untuk tahun ini, segala kos pertandingan akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Saya merakamkan penghargaan kepada YB A. Sivanesan atas usaha besarnya dalam mendapatkan bantuan tersebut, termasuk kerajaan negeri serta Majlis Bandaraya Ipoh yang banyak memberikan sokongan,”katanya.

Bagi memberikan galakan kepada para peserta, orang ramai termasuk ibu bapa digalakkan hadir untuk menyaksikan dan memberikan sokongan kepada para peserta dalam pertandingan itu nanti.