52 unit bubu naga dirampas di sekitar perairan Kerian

Berita Perak

KUALA KURAU: Sebanyak 52 unit bubu naga berjaya dirampas dalam operasi yang dilaksana Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 8.3 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang, petang semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid, kesemua hasil rampasan itu dianggarkan berjumlah lebih RM6,000.

“Rondaan di sekitar perairan Kerian telah menemukan kesemua bubu naga tersebut.

“Hasil rampasan itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah seksyen 11(3)( c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan mengunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Maritim Malaysia menegaskan supaya komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05- 7279919) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.