5 akademia UPSI dilantik jawatan Profesor

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini melantik empat akademia ke jawatan Profesor sebagai mengiktiraf kepakaran mereka dalam bidang masing-masing.

Majlis pelantikan yang diadakan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Prof. Dr. Nor Hasbiah Ubaidullah dilantik sebagai profesor, mengiktiraf sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang komputeran dan teknologi meta.

Sementara itu, dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM), empat lagi tokoh akademik diberi penghormatan yang sama iaitu Prof. Dr. Nor Azlan Nafiah, Prof. Dr. Rosmilah Misnan, Prof. Dr. Azmi Mohamed, dan Prof. Dr. Haniza Hanim Mohd Zain.

Dr Md Amin dalam ucapan penghargaannya berkata, majlis diadakan bertujuan bukan sahaja untuk meraikan pencapaian peribadi tokoh-tokoh akademik itu tetapi juga untuk mengiktiraf sumbangan mereka kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga akademik di UPSI untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,”katanya.

Majlis pelantikan itu, menurutnya, selain satu pengiktirafan, ia juga menyediakan platform untuk para profesor berkongsi pengalaman dan visi mereka dalam memajukan pendidikan tinggi.

Katanya, ia termasuklah strategi untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui ilmu dan kepakaran yang dimiliki.

“Majlis pelantikan profesor di UPSI adalah satu langkah penting dalam menghargai dan mempromosikan budaya kecemerlangan akademik dan diharapkan profesor yang dilantik akan terus memberi sumbangan bermakna kepada universiti dan masyarakat keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau yakin, akademia UPSI yang dilantik memiliki nilai dan ciri-ciri akademia yang “Budiman” (Budi Ilmu dan Iman), selaras dengan moto universiti sejak penubuhannya iaitu “Pengetahuan Suluh Budiman“ dan universiti sebagai Ibu Kandung Suluh Budiman.