IPOH: Seramai 30 orang pesara polis menerima sumbangan berupa kotak barangan asas dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pesara-pesara Polis sempena Hari Pahlawan Tahun 2025.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risik/Operasi) Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus, majlis tersebut dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Chemor dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Daerah Kinta.
“Hari ini kita berkumpul untuk meraikan pesara polis. Sumbangan ini merupakan inisiatif yang digerakkan oleh KRT Pekan Chemor sendiri.
“Usaha ini amat baik dan digalakkan oleh pihak PDRM, hari ini untuk Pekan Chemor kita telah sampaikan 30 sumbangan kepada pesara terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis tersebut di Dewan Perpaduan KRT Pekan Chemor pada Khamis.
Sementara itu, Pengerusi KRT Pekan Chemor, Datuk Hulam Rasol Nadar Khan menyifatkan majlis itu sebagai usaha bagi memperingati jasa dan pengorbanan polis selama ini.
“Saya bersama-sama jawatankuasa KRT berbincang untuk laksana program untuk para pesara di sini, yang mana susah juga kita akan bantu,” katanya.











