292 belia mohon ceburi sub-sektor makanan tahun lalu di Perak

Berita Perak

IPOH: Seramai 292 belia memohon untuk menceburkan diri dalam sub-sektor makanan tahun lalu, berbanding hanya 99 pada tahun 2021.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, peningkatan itu menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam memperkasakan belia bertani di Perak.

Menurutnya, ia juga hasil penubuhan Briged Muda Petani Moden, program yang diwujudkan khas bagi golongan belia dibawah umur 40 tahun.

“Di bawah program ini, bantuan sepenuhnya diberikan dibawah kerajaan negeri, termasuk penyediaan kawasan serta bantuan input pertanian iaitu baja, racun, bahan tanaman dan sistem pengairan,” katanya ketika menjawab soalan Wong May Ing (PH – Pantai Remis) pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Selain itu, ujarnya, strategi dan tindakan perluasan pembukaan ladang baru dan penggunaan teknologi pertanian moden seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dipergiatkan bagi memastikan keseluruhan pengeluaran tanaman makanan tahap kadar sara diri bagi rakyat Perak khasnya.

Dalam masa sama, kata beliau kerajaan negeri telah mewujudkan beberapa program pembangunan modal insan usahawan tani seperti latihan dan kursus yang dijalankan di pusat-pusat latihan pertanian.

“Setiap tahun pelbagai kursus telah dirancang selaras dengan kehendak dan keperluan semasa secara fizikal dan juga hands-on.

“Hebahan di media sosial berupa informasi terkini secara digital juga sentiasa dikemaskini memandangkan perubahan dunia tanpa sepadan memperlihatkan golongan belia adalah golongan terbesar yang menggunakan platform ini,” ujarnya.

Mohd Zolkafly berkata, anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan
Pertanian Negeri Perak (PPPNP) juga menyediakan program bantuan serta inisiatif bagi menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pertanian.

Menurutnya, antara program yang dilaksanakan ialah skim pinjaman tanpa faedah dan geran asnaf yang telah berjaya bagi menggalakkan pengembangan perniagaan dan usaha oleh usahawantani.

Tambahnya, bermula tahun 2019 sehingga 2023, peruntukan yang disediakan adalah berjumlah RM 13.5 juta dan RM5 juta lagi diperuntukkan tahun ini.

“Dibawah Program Pembangunan Usahawan Perak, SADC turut
merangkumi program peningkatan perniagaan dan kemahiran dalam
bentuk kursus dan program pembangunan skill dan kemahiran,” ujarnya.

Beliau memberitahu, berdasarkan rekod peminjam di bawah program itu, telah memberi manfaat kepada 290 orang belia dibawah umur 40 tahun dari tahun 2019-2023.

Katanya, SADC juga melaksanakan Program Agropreneur Pitching untuk memangkin usaha dan inovasi belia dan mahasiswa dalam bidang pertanian.

“Program ini memberi peluang bagi usahawantani muda serta mahasiswa untuk “pithing” projek/usaha/inovasi agro samaada di peringkat “start-up” mahupun idea.

“Tambahan lagi, 10 pemenang setiap tahun akan menerima geran
perniagaan dari pihak Perak SADC atau rakan strategik,” jelasnya.

Menurut beliau, setiap tahun bermula tahun 2019, program itu telah menerima penyertaan hampir 500 penyertaan setiap tahun dari usahawan dan agropreneur muda dan mahasiswa universiti.