29 penumpang bas terselamat, bas musnah terbakar di lebuh raya

Berita Perak

KAMUNTING: Seramai 29 orang penumpang termasuk pemandu bas ekspres terselamat setelah kenderaan yang mereka naiki musnah terbakar dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di kilometer (km) 406 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini pada Khamis malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.16 malam.

Difahamkan bas tersebut dalam perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang.

“Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres telah menyeret sebuah motosikal yang terbabas pada ketika itu dan menyebabkan kebakaran bas berkenaan, anggaran kemusnahan terbakar 90 peratus.

“Seramai 28 orang penumpang di dalam bas telah berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum ketibaan bomba.

“Seorang mangsa iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Justeru itu katanya, seramai 19 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping mengawal kebakaran sehingga ia berjaya dipadam sepenuhnya.

Operasi tamat jam 10.33 malam.