250 pelumba antarabangsa berkampung di Lenggong sempena Rimba Raid 2025

Berita Perak

LENGGONG: Rimba Raid 2025 bakal menghimpunkan lebih 250 pelumba dari 17 negara termasuk pasukan Ducati, Petronas Sprinta Lenggong Racing Team.

Kejohanan sukan permotoran lasak antarabangsa tersebut akan bertempat di Lenggong dari 26 hingga 29 Jun ini.

Buat julung julung kalinya, pasukan Ducati, Petronas Sprinta Lenggong Racing Team bakal menyertai kejohanan itu.

Pasukan ini bernaung di bawah Lenggong Valley Motorclub, sebuah inisiatif Majlis Pelancongan Lenggong dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Majlis pelancaran rasmi pasukan telah berlangsung di Dataran Tasik Raban pada Jumaat dan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, tujuan kejohanan itu dianjurkan adalah bagi mencungkil lebih banyak bakat dalam bidang tersebut.

“Kita tidak mahu jadi tuan rumah sahaja, tetapi kita juga mahu memperlihatkan kepada dunia bahawa sebenarnya kita juga ada pelumba berbakat yang sangat berwibawa.

“Selain itu mereka ini juga ada kemungkinan untuk naik podium, itu sebenarnya harapan dan impian kita,”katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Presiden Ducati Official Club Malaysia, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Malaysia, Mohd Zameer Zahur Hussain.

Rimba Raid ke-10 dijangka menghimpunkan pelumba daripada 17 negara termasuk Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura dan China.

Penganjuran kejohanan itu sekali gus dilihat mampu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.