PADANG RENGAS: Seramai 225 penerima terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang menerusi Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, hari ini.
Menurut Pegawai Khas Menteri Besar bagi DUN Chenderoh, Arif Majid, bantuan tersebut bertujuan membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.


Beliau berkata, program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan, sentiasa terbela.
“Seramai 225 penerima terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas telah menerima baucar RM100 bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama 2026 di DUN Chenderoh.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Saarani Mohamad, atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Salbiah Mohamed, atas usaha dan komitmen beliau bersama pihak berkaitan dalam memastikan pelaksanaan program bantuan kepada masyarakat dapat dijalankan dengan baik.
Beliau berkata, kegembiraan jelas terpancar di wajah para penerima terutama kanak-kanak yang hadir menerima sumbangan tersebut.
“Semoga sumbangan kecil ini dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri mereka pada tahun ini,” katanya.





