22 Pasukan Sertai Pertandingan Bolasepak 9 Sebelah SJKT Kinta Utara

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 22 buah pasukan dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kinta Utara mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak 9 sebelah
di Padang Ipoh pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 16 adalah pasukan lelaki manakala enam lagi adalah pasukan perempuan.

Pertandingan anjuran Persatuan Kebajikan Sehati Warga Perak bagi merebut Piala Ahli Parlimen Tambun.

Bagi kategori lelaki, SJKT Klebang muncul juara diikuti SJKT Chettiar di tempat kedua, SJKT Kerajaan A (ketiga) dan SJKT Desa Pinji (keempat).

Bagi kategori perempuan pula, SJKT Methodist muncul johan diikuti SJKT Klebang (kedua), SJKT Chettiar (ketiga), SJKT Menglembu (keempat), SJKT Kerajaan (kelima) dan SJKT Kg Simee (keenam).

Kesemua pasukan menerima medal dan wang tunai manakala johan turut menerima piala pusingan.

Hadiah-hadiah disampaikan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Suresh Kumar di samping kepimpinan Persatuan Kebajikan Sehati Warga Perak.

Suresh Kumar berkata, tahun ini merupakan kali pertama pertandingan itu diadakan dan mendapatkan sambutan yang amat menggalakkan.

“Kami bercadang untuk meluaskan lagi penyertaan sehingga ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Sementara itu, Azizi memuji langkah pihak penganjur mengadakan pertandingan itu kerana ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka di peringkat yang muda.

“Sekarang ini, ramai golongan muda menggunakan banyak masa untuk bermain permainan di internet.

“Dengan adanya pertandingan seperti ini, di samping merapatkan hubungan, ia juga boleh menyihatkan badan,” ujarnya.