20,000 hadiri sambutan Aidilfitri peringkat negeri Perak

Berita Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, pada Rabu.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira pada jam 3.15 petang disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, EXCO Kerajaan Negeri Perak dan beberapa kenamaan lain.

Kira-kira 20,000 orang daripada pelbagai kaum memeriahkan sambutan sambil menikmati juadah yang disediakan.

Saarani di dalam ucapannya berkata, sambutan Aidilfitri membuktikan kemajmukan budaya, kaum dan agama yang menjadi simbol keunikan rakyat Malaysia selama ini, tidak pernah menjadi halangan kepada keharmonian dan keamanan di negara, termasuk di negeri Perak.

“Begitulah indahnya nikmat perpaduan, sehinggakan jurang perbezaan antara kaum tidak pernah mengekang kita untuk sama-sama menjulang dan memaknakan semangat muhibbah, dengan menikmati kemeriahan serta kemanisan Aidilfitri pada setiap tahun.

“Semangat muhibbah itu juga dirasai setiap kali kita meraikan perayaan kaum lain kerana majoriti rakyat Malaysia masih percaya bahawa bibit-bibit perpaduan yang disemai dari kecil sehinggalah kita menginjak usia dewasa, adalah kunci kepada kemakmuran dan kesejahteraan sebuah negara,” katanya.

Menurutnya, seruan kepada mempertahankan nilai perpaduan kini kembali bergema tatkala masyarakat sejak kebelakangan ini sering terheret dalam isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Beliau berkata, polemik dan perdebatan yang timbul mencetuskan prasangka dan kesangsian sehingga menguji semangat toleransi dalam kalangan rakyat.

“Lebih parah lagi, platform media sosial yang sepatutnya menjadi pelantar bagi menyebar nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang, kini dijadikan sarang untuk menanam bibit-bibit persengketaan, memacak duri-duri permusuhan, meniup bisikan mengadu domba serta memercik api kebencian.

“Inilah bahana andai kita semakin hilang deria rasa terhadap sensitiviti kaum dan agama, sehinggakan isu atau perkara sensitif mula dipandang remeh dan mudah, sementelah kata-kata dan perbuatan pula dilontar secara membuta tuli sehingga mengguris atau melukakan perasaan orang lain,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap sempena hari mulia ini, semua pihak bersama-sama memasang tekad dan kesungguhan untuk membina kesatuan dan memelihara nilai-nilai perpaduan.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut menyampaikan duit raya kepada penghuni beberapa rumah anak yatim dan pusat jagaan.