13 kes diambil sepanjang SHMMP di Perak tahun ini

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 13 tindakan kes dihasilkan sepanjang program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Perak, tahun ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor, berkata, tujuh daripada kes itu dicatatkan ketika SHMMP Hari Raya Aidilfitri, satu ketika Deepavali dan lima lagi ketika Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini, bilangan itu berkurangan berbanding tahun lepas iaitu 15 kes.

“Secara keseluruhannya, kebanyakan peniaga mematuhi harga maksima yang ditetapkan, malah ada yang lebih rendah daripada itu.

“Mungkin ia disebabkan tempoh masa SHMMP agak singkat, contohnya ketika Krismas ini hanya lima hari (dari 23 hingga 27 Disember), tiada masalah peniaga untuk mematuhinya,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan SHMMP Krismas 2024 di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini, hari ini.

Menurutnya, KPDN Perak mempunyai 197 penguat kuasa dan 74 pegawai pemantau harga (PPH) yang akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah seluruh negeri.

Jumaat lalu, KPDN mengumumkan penguatkuasan SHMMP Krismas 2024 membabitkan 14 barang selama lima hari bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata barang berkenaan meliputi ayam tua hidup (di Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).