127 projek baharu dikenalpasti untuk Pelan Perak Sejahtera 2030

Berita Perak

LENGGONG: Sebanyak 127 lagi projek baharu telah dikenalpasti untuk disenaraikan di dalam papan pemuka Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi tujuan pemantauan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek-projek itu meliputi sektor penting seperti sekuriti makanan, perumahan, latihan belia dan kesihatan.

Menurutnya, memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan tersebut, 108 daripada 272 projek dan inisiatif yang digariskan telah pun dijayakan, 128 sedang dalam pelaksanaan manakala 36 lagi sedang di peringkat pra pelaksanaan.

“Kita menjangkakan projek-projek di bawah pelan ini akan menjadi lebih rancak apabila kerajaan negeri mendapat kebenaran rasmi daripada kerajaan Persekutuan untuk membolehkan mereka memulakan mengusaha hasilkan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE ),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KPTM) di sini, hari ini.

Menurutnya, beberapa indikator ekonomi juga menunjukkan Perak berjaya bangkit daripada kesuraman akibat pandemik COVID-19 apabila merekodkan surplus untuk tiga tahun berturut-turut selepas diambang kemelesetan susulan defisit mencecah RM70 juta pada tahun 2020.

Saarani berkata, kadar pengangguran juga menampakkan trend penurunan kepada angka 3.9 peratus pada 2024 berbanding 4.7 peratus pada 2021, manakala kadar penyertaan tenaga buruh pula terus meningkat mencecah 65.8 peratus pada tahun lalu.

“Dengan prestasi kewangan yang kukuh dan momentum pertumbuhan yang baik membolehkan Kerajaan Negeri menambah pelbagai peruntukan kesejahteraan rakyat termasuk menaikkan kadar bantuan kepada golongan memerlukan,” ujarnya.

Tambahnya, semua kejayaan itu didorong oleh prinsip kebersamaan dan kekuatan jentera pentadbiran yang bekerja secara berpasukan selain sinergi hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menjayakan pelbagai inisiatif bernadikan rakyat.

Memasuki tahun keempat, kata beliau, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha menjayakan lima nod pertumbuhan ekonomi selain meneroka secara lebih meluas cabang-cabang ekonomi baru termasuk Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau dan Ekonomi Penjagaan.