IPOH: Sebanyak 11 buah koperasi di Perak tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tahun 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bilangan itu adalah yang kedua tertinggi di Malaysia, selepas Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, pencapaian itu, jelas membuktikan bahawa gerakan koperasi di Perak terus cemerlang dan mampu menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara.
“Kejayaan ini jelas membuktikan keupayaan koperasi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang semakin rencam serta mampu memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin.
“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada koperasi-koperasi lain untuk terus melangkah maju, meraih kejayaan yang lebih gemilang, dan memperkukuhkan lagi peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan negeri dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apreasiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak tahun 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam era yang serba mencabar. koperasi perlu sentiasa berinovasi, berdaya tahan, dan berdaya saing bagi memastikan ia relevan dan terus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, keupayaan untuk mengadaptasi teknologi, mempelbagaikan sumber pendapatan, serta memenuhi keperluan semasa adalah kunci kepada kelangsungan dan keberhasilan koperasi.
Beliau memberitahu, sepanjang tahun 2024, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM620,000 untuk pembangunan dan kawal selia gerakan koperasi, menunjukkan komitmen terhadap usaha memperkukuhkan koperasi di peringkat negeri.
“Hasilnya, lebih 700 koperasi di negeri Perak telah menerima manfaat, melibatkan lebih 35,000 anggota koperasi.
“Sokongan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan gerakan koperasi sebagai tonggak pembangunan sosioekonomi rakyat,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan telah membuktikan kejayaan koperasi dalam memainkan peranan sebagai platform utama yang membantu meringankan kos sara hidup rakyat negeri Perak melalui pelbagai inisiatif yang relevan dan berkesan.
Antaranya, ujar beliau, program itu menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi barang keperluan harian, memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
“Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos sara hidup, tetapi juga memperkukuhkan kedudukan koperasi sebagai pemacu utama ekonomi setempat, khususnya dalam menyokong ekonomi komuniti,” katanya.
Saarani berkata, melalui Belanjawan Perak 2025 yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang berjumlah keseluruhan RM1.52 bilion, kerajaan negeri terus komited untuk memperkukuhkan sektor koperasi.