1,000 terima bantuan lesen memandu B2 di Parlimen Tambun

Berita Perak

IPOH: Pejabat Ahli Parlimen Tambun dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini, menyerahkan bantuan lesen memandu Kelas B2 kepada seramai 1,000 individu menerusi Program MyLesen Parlimen Tambun.
 
Penyerahan disempurnakan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Kolej Poly-Tech Mara, di sini.

Para penerima bantuan merupakan individu daripada golongan B40 yang terdiri daripada mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas.
 
Program MyLesen adalah komitmen dan usaha cakna Kerajaan untuk membantu mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan.

Pemilikan lesen memandu Kelas B2 ini akan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Tambun untuk memudahkan pergerakan bagi menguruskan aktiviti-aktiviti ekonomi seterusnya membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
 
Kerajaan berharap inisiatif ini dapat membantu golongan B40 yang menghadapi cabaran ekonomi bagi mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2.

Inisiatif ini juga sebagai usaha untuk melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya.