BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengambil inisiatif berbeza bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan menganjurkan Jualan Termurah Madani di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di sini, hari ini.
Menurutnya, program itu bagi membantu meringankan beban rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.
“Sempena cuti kemerdekaan Malaysia tahun yang ke-68, saya mengambil keputusan untuk membuat jualan yang paling murah untuk membantu rakyat.
“Kos sara hidup rakyat pun belum selesai, mungkin inilah erti kemerdekaan bagi mereka,” katanya kepada pemberita semasa program jualan termurah Madani sempena kemerdekaan di Pusat Khidmat Bukit Gantang, di sini, hari ini.
Melalui program tersebut, pelbagai barangan keperluan asas ditawarkan pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.
Antaranya, beras putih tempatan dijual pada harga RM20 sekampit 10 kilogram tanpa had pembelian khusus buat penduduk di kawasan itu.
Turut ditawarkan ialah ayam segar pada harga RM8 seekor, kerang RM5 sekilogram serta hasil laut seperti ikan kembung, siakap dan kerisi pada kadar mampu milik.
Syed Abu Hussin berpendapat, pendekatan itu adalah solusi sebenar dalam membantu rakyat dengan memotong rantaian bekalan sekali gus mengurangkan kos pengangkutan yang sering menyumbang kepada kenaikan harga.
“Mana ada orang jual beras putih tempatan RM20 sekampit, mana ada ayam RM8 seekor, kerang RM5 sekilogram, kembung 50 sen seekor.
“Saya cuba sedaya upaya buat di pusat khidmat saya dengan jumlah yang besar supaya rakyat dapat membeli dengan harga berpatutan.
“Ini bukan subsidi, tetapi penyelesaian sebenar yang boleh saya lakukan setiap minggu di Bukit Gantang,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja diadakan sempena sambutan Merdeka, malah akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Bukit Gantang, tidak terus terbeban dengan kenaikan kos makanan.




