10 daerah tonjol loghat menerusi pantun, LEPAS Perak mahu ‘hidupkan’ warisan, sastera Melayu

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Pantun, puisi dan kesusasteraan Melayu akan pupus ditelan zaman jika tiada usaha untuk memartabatkannya dalam kalangan generasi muda.

Masih ramaikah yang mempraktikkan pantun, puisi dan sastera Melayu? Atau masih menggunakan loghat di daerah yang mereka duduki.

Kolokium Pantun Madani Loghat Perak yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak baru-baru ini mengetengahkan kelainan dengan menonjolkan loghat daerah masing-masing di negeri ini.

Menurut Ketua Satu LEPAS Perak, Abd. Rashid Ahmad Rafie, program julung-julung kali dianjurkan itu membabitkan pelajar sekolah daripada pelbagai kaum, kolej dan universiti.

“Kita mahu dekatkan masyarakat dengan bidang seni berbahasa, penulisan serta mengasah minda mereka untuk berfikir lebih kreatif dalam mencipta pantun dalam loghat Perak.

“Ia melibatkan semua daerah di Perak bagi menyemarak penggunaan loghat Perak.

“Ramai generasi muda tidak mengenali pantun dengan sepenuhnya, pantun merupakan puisi Melayu yang diwarisi turun temurun dan perlu diwarisi generasi sekarang.

“Kita mengambil inisiatif untuk menganjurkan persembahan berpantun sebanyak 10 daerah di Perak,” katanya.

Jelasnya, pemilihan loghat Perak bertujuan mengetengahkan keunikan dan perbezaan ketara loghat antara penduduk di daerah negeri Perak.

Seperti mana di Hulu Perak yang loghatnya berbunyi seperti campuran Melayu-Siam dan Kerian pula Banjar, Pulau Pinang dan Kedah, begitu juga daerah lain.

“Kita di Lepas Perak sentiasa perjuangkan serta suburkan bahasa dan kesusasteraan Melayu ini dari masa ke semasa.

“Harapan saya supaya anak muda akan terus mewarisi budaya puisi nenek moyang kita untuk memastikan ia terus ‘hidup’ di masa akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Kuala Kangsar Meniti Zaman kali ke-6, di sini.

Ia turut mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta Dewan Bahasa dan Pustaka.